KUCHING: Warga kerja Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDERN) memegang tanggungjawab besar dalam memastikan Strategi Pembangunan Pasca Covid 19 (PCDS) Sarawak dapat dicapai.
Bercakap kepada warga MUDERN pada Malam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi kementerian tersebut, Datuk Amar Awang Tengah berkata, tanggungjawab itu berat dan harus dilakukan bersama.
“MUDERN diberikan tanggungjawab untuk menambah pendapatan negeri dalam kita cuba keluar dari kemelut pandemik ini. Sarawak akan melaksanakan banyak projek pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari.
Beliau menambah, warga MUDERN harus melaksanakan tanggungjawab dengan berdedikasi supaya dasar kerajaan dapat dicapai dan memperkukuh kedudukan Sarawak dalam menuju status negeri berpendapatn tinggi menjelang 2030.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada yang banyak membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mencatatkan kemenangan bergaya pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
“Tahniah saya ucapkan juga kepada Ketua Menteri kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengemudi GPS untuk mencatat kemenangan cemerlang ini,” tambah beliau.
Turut hadir, mantan Setiausaha Tetap MUDERN, Datu Zaidi Mahli dan mantan ADUN Gedong Datuk Naroden Majais.
Sumber dari : Jiwa Bakti